Saturday, November 30, 2019

Sahabat yang sentiasa bersama




Sahabat itu cerminan diri.
Sahabat itu yang mengingatkan  pabila diri alpa.
Sahabat juga yang mengejutkan pabila diri terlena.
Sahabat juga yang memimpin kembali diri ini tatkala hanyut entah ke mana.

Saya punya seorang sahabat yang terlebih dahulu meninggalkan kami.
Manis orangnya.
Rajin serta konsisten.
Pernah sekali beliau menangis tidak dapat menyelesaikan soalan matematik.
Pernah beliau menangis kerna rindu akan kedua ibu bapa yang kejauhan.
Impian beliau menjadi juruterbang, namun terpaksa dilupakan kerana rabun jauh.
Kemudian beliau nekad untuk menjadi pakar perubatan forensik, tempias pengaruh drama CSI.
Tiga sahabat kemudiannya berjanji  - berusaha sehabis mungkin untuk mencapai cita-cita: beliau untuk menjadi pakar perubatan forensik; sahabat kedua ingin menjadi usahawan wanita berjaya dan saya dengan hasrat untuk menjadi pakar bedah.
Kesungguhan beliau jelas dalam usahanya saban hari.
Dalam mengejar dunia, tidak pernah akhirat terabai.
Kewajipan seharian ditunaikan, dihiasi dengan amalan sunat.
Setelah peperiksaan PMR, masing-masing membawa haluan diri, berpindah ke sekolah pilihan masing-masing.
Tidak sampai dua tahun kemudian, berita pemergiannya mengejutkan dan menghibakan.
Air mata dan doa mengiringi pemergiannya.
Biar jasad tidak lagi bersama, semangat dan tekad beliau yang tidak pernah luntur menghidupkan diri ini.
Agar diri sentiasa ingat akan seutas janji itu.
Terus berusaha untuk mencapai cita-cita.
Terima kasih sahabat, kerana terus bersama dalam perjuangan ini.
Andainya kau tahu, tidak terkira akan berapa kali diri ini putus asa dan culas.
Namun, kesungguhanmu sahabat, dan perjanjian kita terus membakar api perjuanganku, biarpun ada masanya malap, namun tidak pernah padam.
Moga kau berbahagia di sana.
Moga kita bertemu lagi di syurga-Nya.
Sungguh, ku rindu.


0 comment(s):

Popular Posts

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More