Friday, October 24, 2025

Satu masa dahulu. Dan kini.

 Itqan. 

Bersungguh-sungguh dalam setiap perkara. 


Dahulu, guruku berpesan: semangat pasti akan ada bila adanya cinta dalam melakukan sesuatu (Cikgu Sharifah - sayang cikgu, sebab bagi saya tidur bila perlu :P)


Semasa di bangku persekolahan - tidak pernah timbul soal semangat. Pernah ada rasa culas, tapi sementara. Tidak sampai berlarutan. 

Tidak pernah timbul soalan - mampukah aku? Mungkin aku semborono. Mungkin aku tidak berfikir panjang. Seolah-olahnya: 'persetankan semua yang boleh terjadi, biar apa pun ia. Asalkan aku berikan yang terbaik'. 


Pernah dalam perjalanan (tidak ingat dari mana dan ke mana) - ayah bertanya: Mah rasa, apa agaknya sebab pelajar di kolej/university hilang semangat atau motivasi? 

Ketika itu, aku tidak punya jawapan. Bukan sekadar aku tidak tahu, tetapi ianya satu persoalan yang aku tidak pernah terfikir boleh atau mungkin akan berlaku. 

Apakah jawapan yang aku lontarkan ketika itu - aku tidak pasti. Sudah kulupa. 

Tapi persoalan itu aku tidak pernah lupa. 


Lantas aku ke menara gading. 

Makanya aku sedar bahawa tidak semua subjek itu mudah; dan tentunya tidak semua subjek itu diminati. 

Aku sedar lebih lagi tentang faktor manusia sekeliling - yang menjadikan detik itu lebih senang atau lebih sesak, fikiran itu lebih kusut atau teratur, jiwa itu lebih tenang atau bergelora. 


Alangkah kecilnya duniaku sebelum ini. 


Jujurnya, aku tidak ingat sekiranya aku berfikir tentang motivasi ataupun semangat. 

Tetapi aku ingat - aku tidak lagi ingin menjadi yang 'terbaik'; aku berasa cukup sekadar menjadi yang 'baik' dan lulus setiap ujian. Aku rimas mungkin. Atau mungkin aku takut dengan tekanan sebagai yang 'terbaik'. Aku segan dan resah dengan kata-kata orang sekeliling: 'hebatnya, 'power'nya, mantapnya'. Kerana wujud perasaan dalam jiwaku dan fikiran yang mengatakan - aku masih jauh dari hebat. 'Hebat' itu terlalu menakutkan dan berat. 


Pasca-siswazah mencorakkan dimensi yang amat berbeza. Saban hari aku bertanya kepada diri: "marilah kita berhenti di saat ini; hentikan sahaja pengajian ini".

Bukan kadang-kadang. Bukan jarang-jarang. 

Jika bukan setiap hari, pastinya hampir setiap hari. 

Sering saya lontarkan kemahuan itu dalam kumpulan 'whatsapp' rakan sekelas dahulu. 

Setiap hari terasa berat dan sukar. Dan di ketika ini saya teringat akan soalan ayah dahulu: ke mana hilangnya semangat/motivasi?


Sejujurnya - hanya satu perkara yang menghalang saya daripada menghantar surat memberhentikan pengajian: malu. 

Saya malu dengan mek dan ayah saya- saya terbayang mereka akan bertanya: "kenapa? kenapa berhenti?". Dan jawapan yang saya ada hanyalah: "saya rasa saya tidak mampu lagi". Malu kerana hanya itu asbabnya. "saya rasa". 


Rasa. Rasa itu berat. Rasa itu juga yang boleh membuatkan kita rasa ringan dan mudah. Satu kata, besar maknanya. 


Kepada semua yang telah membolehkan saya melangkah dari hari ke hari sehingga saya selesai pengajian, terima kasih. 

Benar, saya menjadi diri saya sekarang berkat doa, usaha dan sokongan orang sekeliling saya. 


Kebanyakan masanya, saya masih belum percaya saya telah melalui semua itu. Seakan tidak mungkin. 

Saya masih teringat sahabat saya, Syair bertanya kepada saya seusai saya menyampaikan berita gembira bahawa saya telah lulus peperiksaan akhir: "Bila Atim nak quit?" hehe. 




Monolog ini sekadar catatan. Bahawasanya diriku satu masa dahulu ingin berputus asa. Tetapi orang sekeliling masih membantuku menggagahkan diri. 


Terlalu banyak persoalan kini mempersoal kemampuan diri. Sehinggakan terasa lumpuh keinginan dan kemampuan diri. Tetapi sampai bila? 


Tuhan, berikan aku daya dan upaya untuk terus berbakti dengan kesungguhan dan keikhlasan, berhabis baik, untuk kebaikan Bersama. 

0 comment(s):

Popular Posts

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More