Saturday, January 2, 2016

apa gunanya

Wahai diri
yang dipinjamkan sebatang tubuh yang berisi jiwa dan ruh
Lupakah dikau akan janjimu pada Yang Menciptakan
Lupakah dikau akan lahirmu hasil penyatuan dua insan bergelar ibu dan ayah

Lupakah dikau bahawa janjimu untuk menjadi khalifah di muka bumi;
untuk memakmurkan bukan membinasakan.
Lupakah dikau bahawa darah dagingmu dibesarkan kedua ibubapamu dengan izin-Nya
Apakah dikau lupa bahawa Dia memerintahkan untuk berbuat sehabis baik kepada kedua ibu bapamu?

Apa gunanya hati lapang dan ceria andai hakikatnya dikau mengguris kedua hati mereka?
Apa gunanya dikau terasa bahagia dan selesa sedangkan mereka senak memikirkan kebahagiaanmu?
Benar, telah bertahun mereka berkorban demi kebahagiaanmu dan mereka tidak pernah lelah melakukannya.
Benar, terasakan sepertinya mereka tidak kenal erti perit dan luka tatkala dikau berkata 'ah' ataupun cuba membandingkan mereka.
Benar, mereka telah melakukan sehabis baik mereka dengan apa jua kudrat dan peluang yang mereka punya.
Sedangkan dikau terus beralasan, terus membandingkan, akan dirimu dengan yang kononnya lebih bahagia, akan dirimu dengan kononnya yang lebih berharta, akan dirimu dengan kononnya yang lebih 'terbela' dan 'terjaga' oleh ibubapa mereka.

Apa gunanya seisi dunia ini andai ibu ayahmu berjauh hati. Ingatlah anak, redha Tuhanmu terletak pada redha keduanya, dan murka keduanya mengundang murka Yang Maha Kuasa.

Wahai diri, moga dirimu berbakti sehabis baik buat kedua ibu bapamu. .
Wahai diri, moga dirimu menjaga tutur katamu agar tidak sekali-kali menyakiti kedua ibu bapamu.
Wahai diri, moga tidak sekali-kali dikau berkelakuan atau berkata yang menyinggung perasaan mereka; ataupun menjadikan mereka berhati-hati dalam melayanimu. Kerana tidak selayaknya begitu. Seharusnya dirimu menjaga tutur katamu dan perbuatanmu, indah dalam budi dan bicara, agar senang sentiasa hati mereka.
Wahai diri, moga dirimu tidak sekali-kali menjadikan mereka berjauh hati denganmu kerana sungguh, nilai mereka pada insan bernama anak adalah tidak ternilai. Moga dirimu sentiasa beringat akan jasa mereka padamu yang tidak terbalas melainkan dengan sebaik-baik pembalasan dari yang Maha Pengasih.
Wahai diri, jadilah dirimu anak yang soleh/ah, aset buat ibu bapamu di dunia dan akhirat.



#peringatanbuatdiri

0 comment(s):

Popular Posts

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More