Wednesday, June 1, 2016

aku hanya seorang insan.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Pernah satu ketika dahulu,
seorang sahabat rapatku berpesan:
kita ni manusia biasa, kepunyaanNya dan juga insan yang lain.
aku merupakan sahabatmu tapi juga sahabat kepada yang lain.
aku juga anak kepada dua orang ibu bapa, dan juga sebahagian daripada masyarakat.

Lantas aku mengerti pesanannya itu.
Kita hidup ini berkongsi. Dan sejujurnya, perkongsian itu perlukan pengorbanan.
Ibu dan ayah yang berkongsi kehidupan mereka dengan anak-anak, malahan lebih dari itu. Kita semua tahu besarnya pengorbanan ibu bapa.
Adik-beradik berkongsi sesama mereka. Berkongsi ibu dan ayah. Sementelah dewasa, kita berkongsi adik-beradik kita dengan ipar kita, pasangan yang dipilih oleh kakak dan abang masing-masing.
Ada yang lebih beruntung, dapat hidup bersama ibu dan ayah meski selepas berkahwin. Untung kan?

Mulanya, aku tidak mengerti dan tidak pernah peduli untuk mengerti.

Semasa kecil, aku sebenarnya cemburu bila ibuku yang seorang guru, sangat disayangi anak muridnya. Anak muridnya menganggapnya seperti ibu mereka. Aku cemburu. Sungguh. Pada hematku ketika itu, mengapa sibuk mahu menyayangi ibuku? Tidakkan mereka punya ibu masing-masing? Tapi aku juga sedar bahawa ibuku tidak pernah berhenti menyayangi diriku dan adik-beradikku yang lain, meski beliau menyayangi anak-anak muridnya seperti anak sendiri. Disebabkan itu, aku tidak pernah memberontak apabila ibuku menyayangi anak-anak lain.
Semasa kecil, aku pernah juga kecil hati dan juga iri hati, apabila ibuku memuji anak-anak jiran dan membetulkan tingkah lakuku. Katanya rajin anak itu, tolong ibunya mengemas rumah, atau menyidai baju, dan sopan tingkah lakunya, serta lain-lain. Hati kecilku berkata, Kenapa tidak diambil sahaja anak itu menjadi anak sendiri jika anaknya ini tiada apa yang hendak dipuji?

Tapi kini aku mengerti.
Pesan sahabatku itu membuka mataku.
Ibuku tidak pernah lokek dengan kasih sayang, kerana dia tahu kasih sayangnya tiada hadnya. Dan kerana dia tahu, biarpun dia mengasihi berjuta anak-anak lain pun, tidak akan sama dengan kasihnya terhadap anak yang dikandung dan dilahirkannya.
Ibuku tidak pernah bermaksud memperkecilkanku bila dia memuji kebaikan orang lain, ataupun menegur perbuatanku. Kerana beliau sebenarnya ingin mengajarkan aku budi pekerti dan hidup ini ada batasnya.


Aku punya abang dan kakak. Setiap mereka lain-lain. Tapi itu tidak mengubah hakikat bahawa mereka adik-beradikku. Setiap satu mereka. Tiada yang dapat menggantikan. Ada yang garang, sehingga ada yang mengatakan garangnya itu bengis. Ada yang mudah berkecil hati, sehinggakan ramai yang memilih untuk diam, risau mengguris hatinya. Ada yang inginkan semuanya sempurna, setiap satu ditelitinya, sehingga terkadang, rasa letih juga sekiranya hidup sedemikian. Kelihatan suram keluargaku sekiranya aku berhenti di situ. Benar, mereka ini garang/ bengis/ mudah berkecil hati dan sebagainya. Tapi mereka ini penyayang dan bertanggungjawab. Tidak pernah sekalipun kakakku atau abangku tidak membantu tiap kali adiknya dalam kesusahan. Tidak pernah putus doa dari mereka baik dalam susah atau senang. Tidak pernah mereka merasa letih atau bosan memberikan nasihat dan peringatan agar hidup tidak tersimpang, agar sekiranya hanyut, sempat berpaut pada tepian. Tidak pernah mereka lokek memberikan cadangan apabila ditimpa masalah. Setiap kami ada kurangnya, tapi mengapa hendak dilihat pada yang kurang itu? Banyak lagi jasa dan budi yang tidak terungkap. Sungguh, aku sayang mereka ini.

Maka dengan itu, aku juga berkecil hati. Dan juga terasa hati.
Masakan tidak, andainya yang lebih jauh pertaliannya lebih mudah didekati. Lebih senang digauli katanya. Kurang menyakitkan hati agaknya.
Sekiranya masa diperuntukkan untuk yang bukan kerabat lebih banyak. Seolah darah daging ini terasa tidak penting. Sehinggakan aku ini rasa tersisih. Mungkinkah aku telah menyisihkannya?

Aku punya sahabat.
Sahabat dari zaman persekolahan sehinggalah sekarang.
Masing-masing ada haluannya. Membina kehidupan sendiri. Membina keluarga dan kerjaya sendiri.
Ya, mereka sahabatku. Mereka juga bersahabat dengan yang lain.
Benar, aku cemburu bilamana aku tidak dapat menyertai majlis bersama mereka kerana tuntutan lain.
Terlepas majlis kenduri bila cuti tidak dapat diluluskan. Kerana aku juga merindukan mereka. Aku juga mahu ketemu mereka. Meluangkan masa bersama. Sekadar berkongsi kehidupan masing-masing. Melepaskan kerinduan.
Tapi hakikatnya aku terlepas kebanyakan peluang itu.
Maka aku cemburu. Ya, cemburu.

Kerana aku hanya seorang insan.
Tapi kini aku dewasa.
Aku kini mengerti.
Benar aku terasa hati, tapi tidak perlu dipendamkan. Kehidupan diteruskan.
Ya aku cemburu, tapi mengapa perlu berpanjangan? Sekiranya ada rezeki, pastu ketemu lagi :)
Aku berkecil hati. Maka lapangkanlah kembali :) Sesungguhnya Pemilik hati tidak pernah lokek dengan kasih sayang.

Maka Ya Allah yang membolak-balikkan hati kami, tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu dan dalam ketaatan kepada-Mu.
Ya Wadud, tanamkan kecintaan dalam diri kami cinta kerana Mu.
Ya Rahim, penuhi diri kami dengan sebanyak-banyak kasih sayang untuk makhluk-Mu.

0 comment(s):

Popular Posts

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More