Monday, July 4, 2016

The Departure

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Seminggu yang lalu, diri ini diberi kesempatan untuk pulang ke rumah buat beberapa hari bagi meraikan Ramadhan bersama keluarga. Entah kenapa, dalam perjalanan pulang ke tempat kerja, hati ini terasa sayu, mengenangkan keluarga dan rumah yang ditinggalkan. Mungkinkah dapat lagi ku bertemu mereka? Mungkinkah ini kali terakhir mereka berjumpa denganku? Sepanjang perjalanan, berbagai kemungkinan berlalu di mindaku. Kemalangan, dan sebagainya. Alhamdulillah, diriku masih diberikan nafas dan kesihatan hingga hari ini. Pada hari tersebut, air mataku bergenang dan bercucuran. Memikirkan perpisahan dengan keluarga. Pilu rasanya. Sedih. Sayu. Ikutkan rasa hati tidak mahu berpisah. Mahu bersama selamanya. Tapi diri ini lupa agaknya. Ruh ku dulu telah berjanji, hidupku dan matiku hanya untuk-Nya. Semua cinta adalah kerana cinta kepada-Nya. Tiada yang lain. Persoalannya, adakah itu yang ku lakukan? Benarkah hatiku, jasadku dan lisanku begitu? Atau kepura-puraan cuma? Jika itu hakikatnya, kenapa kesakitan ini begitu dahsyat? 

Sesungguhnya, diri ini dalam kerugian yang amat. Telah mensia-siakan Ramadhan yang mulia ini. Telah banyak menzalimi diri sendiri. Bulan ini banyak mengajarku erti perpisahan. Perpisahan terakhir seorang insan dari alam ini. Banyak kematian yang aku saksikan, tapi seolah-olah jiwa ini masih yakin hari esok pasti ada, terus bergelumang dalam noda dan kemaksiatan. Amal berulam dusta tanpa mengira bahawa diri ini hanyalah hamba. 

Ketika sekalian umat manusia menghitung hari akan hadirnya Ramadhan, seorang ibu yang mengandungkan anaknya, hampir sudah akan tarikh jangka kelahirannya, tiba-tiba merasakan anaknya kurang bergerak dan apabila diperiksa, hanya jasad yang tinggal, jantungya anaknya sudah pun berhenti berdegup. Belumpun melihat dunia, sudah ditakdirkan pergi. Pada malam Jumaat pertama Ramadhan, zon resus seolah-olahnya bagai hendak meletup, kes trauma yang dahsyat tidak putus-putus, tidak termasuk kes yang lain. Sayu terasa hati ini, apabila seorang remaja meraung kepada seorang pemuda yang sudah pucat lagi sejuk badannya: "Abang, bangun bang, ramai kat luar tu tunggu abang. Bangun bang!". Walau di luar berlagak tenang, sayunya hati tiada siapa yang tahu. Mudah-mudahan pemergiannya di hari mulia dalam bulan yang mulia membawa sebanyak-banyak barakah buat Allahyarham. Selang beberapa hari, seorang kanak-kanak dibawa ke zon resus, tidak bernafas lagi kaku. Cubaan menyelamatkan dibuat semaksima mungkin, apakan daya, Allah lebih sayangkan hamba-Nya. Meraung penjaganya, jelas kedengaran seluruh zon resus. Allahu, adik, untunglah dikau menjadi penghuni syurga. Tapi entah kenapa, hati ini hati batu agaknya, seolah-olah tidak terkesan. Andainya ada, cuma seketika. Setelah itu, hati ini lalai lagi alpa, rakus menurutkan nafsu. Tetapi Allah Maha Penyayang, masih diberikan peringatan demi peringatan. Masih ada lagi yang telah dijemput menemui pencipta-Nya, yang pemergiannya disaksikan insan hina ini. Wahai diri, lupakah dikau bahawa engkau juga akan pergi satu hari nanti? Engkau juga bakal menghembuskan nafas terakhir? Bahawa semua yang ada ini sementara? Semua yang ada ini adalah fana semata-mata? Seakannya hati dan akal ini tidak keruan. Akal itu tahu tapi hati enggan menjadi sedar. Akal seakan mempelajari tapi hati kental mahu melupakan. Pesan guruku dahulu, ilmu itu di dalam dada, bukan di dalam kitab. Hatiku hitam legam sudah, keras tidak mahu mempelajari peringatan dari Pencipta.  

Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku dan dosa kedua ibubapaku, serta keluargaku dan sekalian muslimin dan muslimat ya Allah. Hiasi diri kami dengan amalan ahli syurga ya Allah. Jauhi diri kami dari kemaksiatan dan amalan ahli neraka ya Allah. Kerana syurga -Mu yang kami dambakan dan tidak mungkin kami sanggup menghadapi neraka-Mu. Sesungguhnya hamba-Mu ini amatlah jahil lagi lemah. Hanya pada-Mu kami bersandar. Kurniakanlah kami pengakhiran yang baik ya Allah. Pengakhiran yang diredhai oleh-Mu. 

p/s: 
My ohana, I lnmuasm, always. Mah minta maaf atas segalanya. 
Sahabatku, andai diri ini pergi dalam keadaan masih berhutang dengan kalian, mohon tuntut dengan warisku. Andai diri ini pergi dalam keadaan bersalah denganmu, moga dimaafkan. Sungguh, diri ini hanya insan jahil lagi hina yang penuh dengan noda dan dosa.



you are the author of your life





0 comment(s):

Popular Posts

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More