Saturday, June 19, 2010

We act, we care

Salam buat pembaca sekalian...

Mcm pernah dengar je tajuk ni kan? Mungkin ada yang pernah dengar, mungkin ada yang belum...
entry kali ini sekadar satu perkongsian diri tentang apa yg faham dan peroleh dari perkongsian orang lain dalam sebuah forum...

kita semua telah sedia maklum akan penindasan yahudi ke atas Palestin yang kini menjangkau 60 tahun...dan media pun sentiasa berkongsi isu-isu baru berkenaan saudara kita ini. Yang terkini, konvoi LL4G yang telah diserang oleh yahudi yang mendapat liputan antarabangsa. Ya, kita marah, kita geram dan kita membenci mereka. Itu sememangnya wajar untuk dilakukan. Namun, persoalannya, adakah sekadar itu sahaja? Adakah setakat waktu tersebut sahaja? Bukan. Sekurang-kurangnya kita teruskan doa kita...

Antara persoalan yang diutarakan dalam forum tersebut yang saya rasa wajar menjadi perhatian kita semua: "Apakah yg boleh seorang pelajar lakukan dalam membantu/ berjuang bagi saudara kita yang tertindas?"

  1. Memahami isu ini dan menyampaikannya

Isu Palestin ini melibatkan banyak perkara. Isu kemanusiaan, agama, politik dan bermacam lagi. Namun, kita sebagai seorang Islam, hendaklah memahami isu ini sebaik-baiknya, khususnya dari sudut pandangan Islam. Usahlah kita mengatakan usaha seorang kanak-kanak yang melempar batu kepada sebuah tank adalah sia-sia. Usahlah kita mengalirkan air mata namun kemudiannya tiada lagi ingatan kita terhadap saudara-saudara kita di sana. Hendaklah kita faham, mereka di sana bukan sekadar memperjuangkan kemerdekaan mereka, keselesaan mahupun kesenangan. Namun, mereka memperjuangkan Masjidil Aqsa, qiblat umat Islam yang pertama, Baitul Maqdis, tanah para anbiya’, ulama serta syuhada’. Bukan sekadar itu, mereka bukan berjuang mendapatkan sesuatu yang dimiliki orang lain, tetapi bagi mendapatkan sesuatu yang dirampas dari mereka. Asalnya, Baitul Maqdis itu milik umat Islam dan sewajarnya untuk tanah itu kekal sedemikian. Hal ini merupakan peringatan buat diri saya sendiri dan juga pembaca sekalian untuk kita sama-sama melakukan segala yang termampu bagi membantu saudara kita di sana.

  1. Menggunakan kuasa pembeli sebaik-baiknya

Usahlah kita terus mempersoalkan keberkesanannya dan meragui kepentingannya. Umat Islam memainkan peranan yang besar dalam ekonomi dunia. Jika sebaliknya, masakan pemilik Pau Ahmad meletakkan nama seorang Islam dalam nama produknya. Saya dapati ramai yang tidak lagi memboikot barangan yang menyumbang kepada yahudi atau negara Israel. Kata mereka, tindakan tersebut tidak memberikan kesan. Usahlah hangat-hangat tahi ayam, ketika isu Palestin dan penindasan sibuk diperkatakan, semuanya bersemangat untuk memboikot barangan yang tersenarai memberi sumbangan kepada negara Israel. Setelah beberapa lama, usaha ini menjadi hambar. Marilah kita semua memulakan kembali usaha memboikot ini dan meneruskannya secara istiqamah insyaAllah. Lebih penting lagi, untuk kita saling mengingatkan kerana ada masanya kita terlupa ataupun tidak menyedari bahawa sesuatu produk itu memberi sumbangan kepada negara Israel.

Salah seorang ahli panel yang merupakan Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Hafizi Mohd. Noor menyatakan bahawa 4 penyumbang utama kepada ekonomi negara Israel ialah McDonald, Coca Cola, Loreal dan Nestle. Mungkin kita fikirkan tidak begitu banyak produk bagi 4 syarikat/jenama ini. Cuba kita perhatikan, McDonald, ramai yang telah mengaku addicted dan tak mampu nak memboikot produk ini. Nestle, banyak produk makanan yang dikeluarkan oleh Nestle seperti Milo, Kit Kat, Nescafe, dan banyak lagi. Pendek kata, hampir semua jenis makanan mempunyai barangan Nestle. Coca Cola, saya yakin ramai yang tidak meminum Coke, atau Diet Coke. Namun, sedarkah kita bahawa F&N, A&W, Sprite, juga tersenarai antara produk-produk Coca Cola? Saya pun baru sahaja mengetahui maklumat ini, jadi sama-samalah kita berusaha untuk berhenti dari membeli produk-produk ini kerana kita semua telah sedia maklum bahawa pembelian barangan tersebut bakal membawa kesengsaraan bagi saudara kita di Palestin.

  1. Jangan merokok

Syarikat Philip Morris, syarikat tembakau yang paling besar di seluruh dunia, mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap hari, hanya dari pembelian orang-orang Islam. Meskipun kita semua tahu bahawa merokok memudaratkan kesihatan, tetapi saya harap dengan maklumat ini, perokok-perokok di luar sana dapat berhenti merokok bagi manfaat diri dan juga umat Islam.

  1. Melibatkan diri

Sebagai pelajar khususnya, ramai antara kita yang tidak mampu berjuang dengan berperang secara langsung dengan Israel dan tentera-tenteranya. Meskipun begitu, banyak usaha yang dilakukan dalam membantu saudara-saudara kita. Oleh itu, meskipun kita tidak dapat berjuang di samping mereka di sana, setidak-tidaknya kita melibatkan diri dalam usaha-usaha untuk membantu mereka seperti menderma, melaksanakan kempen dan sebagainya.

  1. Doa

Yang terakhir, doa. Bukankah doa itu senjata mukmin? Sesungguhnya antara sebaik-baik doa itu ialah doa seseorang buat saudaranya, apatah lagi sekiranya kita berdoa untuk saudara-saudara kita di sana yang tertindas dan berjuang demi kemuliaan dan kesucian Islam. Inilah sekurang-kurang usaha yang dapat kita lakukan.

Dalam riwayat Imam Muslim dari Abu Darda’ berkata: “Rasulullah saw. bersabda: “Tiada seorang muslim yang berdoa bagi saudaranya tanpa sepengetahuan saudaranya itu, kecuali Malaikat berkata, bagimu seperti apa yang kamu doakan untuk saudaramu.” Dalam kesempatan yang lain Rasulullah saw. bersabda: “Doa seorang al-akh bagi saudaranya tanpa sepengetahuan dirinya tidak tertolak.”

-di’copy and paste’ dari http://www.dakwatuna.com/2009/10-adab-agar-doa-dikabulkan/



Segala kekurangan harap dimaafkan dan segala kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Sama-samalah kita berkongsi ilmu dan maklumat agar dapat dimanfaatkan bersama.


Semoga Allah merahmati kita dan usaha kita dalam mendapatkan keredhaan-Nya.


1 comment(s):

Popular Posts

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More