Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah, malam semalam berkesempatan mendengar pengisian dari Ustaz Emran bertajuk Titipan Rasulullah
s.a.w. buat wanita
Ustaz membacakan hadith berikut:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)
*yang berikut
merupakan pemahaman saya, bukan verbatim dari kata-kata ustaz
Ada beberapa sebab
kenapa golongan fakir ramai di dalam syurga.
Pertamanya, mereka
tidak berharta, sesuatu yang bakal dihisab oleh Allah. Harta yang menjadi
kesenangan di dunia bakal dihisab dengan berat di akhirat kelak. Disoal akan
sumbernya, ke mana dibelanjakannya, apa yang dimanfaatkan dari harta itu? Andai
harta halal pun begitu berat amanahnya, inikan pula harta yang haram, diperoleh
dari hasil penipuan, dari cara-cara yang bertentangan dengan syariat. Moga
Allah memudahkan hisab kita di akhirat kelak.
Keduanya, golongan
fakir ini banyak bersabar atas kesusahan yang menimpanya. Kasih Allah s.w.t.
kepada hamba-Nya dizahirkan dalam bentuk ujian. Lebih banyak ujian yang
ditempuhi, lebih tinggi darjatnya. Ujian itu menggugurkan dosa. Ujian itu
membuka pintu-pintu hidayah Allah s.w.t. Kesenangan dunia tidak bermakna di
sisi Allah. Berharta bukan bererti disayangi Allah. Senang dari ujian tidak
bermaksud dihujani dengan rahmat dan redha Allah. Semoga Allah mengurniakan
kita kesabaran, ketabahan dan kekuatan untuk mendepani sebarang ujian yang
menimpa.
Mengapa sikitnya
wanita di dalam syurga? Pokok pangkalnya, ada dua golongan yang bersalah.
Lelaki, kerana gagal menjaga amanah Allah s.w.t. Dayus dalam mendidik isteri
dan anak-anak perempuan. Perempuan, kerana kalah dengan hawa nafsu sendiri.
Wanita merupakan amanah yang perlu dipelihara oleh Allah s.w.t. dan
pemeliharaan ini turut bermaksud dari azab api neraka. Secara ringkasnya,
memelihara dari perkara-perkara yang mencampakkan golongan ini ke dalam api
neraka. Sejelas-jelas musuh bagi wanita ialah hawa nafsu. Bagaimana hendak
mendidik wanita? Dengan membayangkan kesenangan akhirat itu lebih daripada
kesenangan dunia. Yakni dengan merasakan kesusahan. Mencontohi sahabiah
terdahulu. Saidatina Fatimah r.a. tidak pernah memiliki khadam/pembantu
sepanjang hidupnya. Zikrullah dijadikan bekalan menggantikan pembantu. Asma'
Abu Bakr hidup dalam kesusahan tetapi penuh kesabaran dan ketabahan serta
sentiasa tetap memelihara hati suami.
Sa'ad bin Abi Waqas r.a., gabenor kota Homs (di Syam) semasa pemerintahan Umar
al-Khattab r.a., merupakan orang yang paling miskin dalam bandarnya walaupun
beliau ialah gabenor. Harta milikannya hanyalah rumah kosong, satu periuk dan
dua helai persalinan. Dalam seminggu, dua hari beliau akan hilang, apabila
ditanya Saidina Umar r.a., beliau menggunakan dua hari tersebut untuk mencuci
persalinan beliau. Subhanallah.
*tertampar dengan diri yang terlalu banyak perkara yang tidak pun benar-benar
diperlukan*
Secara ringkasnya,
wanita suka menurutkan hati dan perasaan melebihi perkara yang membawa ke
syurga. Membaca novel cinta sehingga lupa pada al-Furqan. Marathon drama
sehingga lupa akan kewajipan. Menurutkan nafsu membeli melebihi keperluan.
Sehinggakan perkara agama dan syariat pun diturutkan nafsu. Hanya mengikuti
pengisian agama yang turut mengandungi elemen hiburan, yang menampilkan
artis-artis, yang tidak begitu serius dan penuh dengan lawak jenaka. Bukan
salah sepenuhnya, tapi apabila menolak perkara-perkara yang serius, yang tidak
lagi boleh bergelak ketawa, bukankah itu memilih-milih dalam beragama? Memilih
yang mahu, menolak yang sukar? Astaghfirullah, moga Allah kurniakan kita
kebaikan dengan kefahaman dalam beragama serta mengamalkannya.
Maka, dalam mendidik
wanita, hendaklah dirasakan kesusahan kepada mereka. Bukan tidak memberikan
keperluan dan sebagainya, tapi membiarkan isteri atau anak-anak turut merasakan
kesusahan sedikit sebanyak. Bukan semua permintaan boleh diturutkan. Bukan semua
kehendak boleh dipenuhi. Dalam mengajar indahnya akhirat, hendaklah diajarkan
indahnya dunia ini sementara, susahnya di dunia juga sementara. Akhirat yang
abadi itu destinasi akhir. Allahua'lam.
|
Islam hadir mengangkat martabat wanita |
*jom jadi
susah-proof i.e. tahan susah*